Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, berkata saingan Serie A musim ini mungkin akan kembali bersambung pada13 atau 20 Jun ini.

Wabak Covid-19 telah mengganggu aktiviti sukan di seluruh dunia dengan kempen Serie A musim ini turut ditangguhkan sejak Mac lalu.

Satu keputusan berkenaan musim ini dijangka akan diketahui Khamis ini dengan Serie A berkemungkinan akan menuruti langkah Bundesliga di Jerman, yang telah bersambung sejak 15 Mei lalu.

"Kami sedang berusaha terhadap dua tarikh untuk memulakan kembali perlawanan Serie A, sama ada pada 13 atau 20 Jun ini," katanya kepada Rai TG3.

"Terdapat protokol untuk meneruskan musim ini dan ia amat sama dengan apa yang telah dipersetujui bagi sesi latihan.

"Khamis ini, kami akan membuat keputusan sama ada boleh dan bila liga ini akan bersambung," katanya.

Juara bertahan, Juventus, berkelebihan satu mata di depan Lazio untuk menerajui liga selepas 26 perlawanan sebelum ia ditangguhkan sejak Mac lalu.

"Keadaan darurat ini telah mencetuskan pelbagai isu kritikal dalam dunia bola sepak yang akan berdepan perubahan umum, yang akan berlaku sebelum dan selepas musim panas ini.

"Daripada kesemua isu itu, kami turut membenarkan pemain bola sepak wanita untuk menjadi atlet profesional," tambahnya.