Serie A tetap komited untuk melihat musim ini disudahkan meskipun perlu mengadakan perlawanan di stadium tertutup berikutan ancaman wabak koronavirus baru (Covid-19).

Saingan di Itali terpaksa ditangguhkan sejak bulan lalu angkara Covid-19, sehubungan itu Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) telah menyatakan bahawa kempen 2019-20 tidak akan disambung sehingga kesihatan dan keselamatan semua pihak dapat dijamin.

Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, berharap dapat mengesahkan tarikh 4 Mei depan sebagai tarikh untuk pasukan Serie A kembali berlatih secepat mungkin susulan sekatan pergerakan dan aktiviti luar yang akan berakhir sehari sebelum itu.

Timbul laporan bahawa tujuh kelab termasuk Torino dan Sampdoria menentang idea untuk melanjutkan saingan musim ini sebelum Lega Serie A mengeluarkan kenyataannya semalam.

"Majlis Lega Serie A yang bersidang hari ini dengan suara bulat menegaskan hasrat untuk menyudahkan musim 2019-2020 jika pemerintah mengizinkannya berlangsung sepenuhnya berdasarkan peraturan perlindungan kesihatan dan keselamatan," kata satu kenyataan daripada ahli lembaga badan penganjur itu.

"Aktiviti sukan yang dikenali sebagai Tahap 2 boleh dijalankan mengikut garisan panduan yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA), termasuk FIGC dengan mematuhi protokol perubatan demi melindungi pemain dan pegawai."

Walaupun disebut-sebut sesi latihan akan dibolehkan awal bulan depan, Spadafora menjelaskan perlawanan tidak semestinya akan diadakan dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, saya tidak dapat mengesahkan tarikh kembali ke padang latihan adalah pada 4 Mei," katanya kepada Tg2 Post.

"Sukan ini bukan hanya berkisarkan bola sepak atau Serie A sahaja. Serie A adalah industri ekonomi tetapi kami juga memberi tumpuan kepada aspek bola sepak.

"Saya akan bertemu FIGC yang akan membentangkan protokol latihannya hari ini. Kami akan menilainya bersama-sama.

"Kami harus memahami apakah bola sepak sudah bersedia untuk memulakan latihan.

"Saya akan menilainya dengan berhati-hati tetapi tidak dapat memberi bayangan adakah kembali berlatih bermaksud musim ini akan bersambung."

Juara bertahan, Juventus, di puncak apabila dibezakan satu mata dengan pencabar terdekat, Lazio, selepas 26 perlawanan.