Menteri Sukan Iltali, Vincenzo Spadafora, berkata saingan Serie A musim ini akan kembali secara berperingkat berikutan pandemik Covid-19.

Serie A ditunda sejak Mac lalu gara-gara krisis global itu, namun kebanyakan pasukan sudah memulakan latihan secara individu minggu ini.

Spadafora sebelum ini berkata bahawa latihan secara berkumpulan tidak akan dibenarkan sebelum 18 Mei depan walaupun kerajaan membenarkan pemain kembali ke fasiliti kelab masing-masing.

Dengan saingan Bundesliga di Jerman akan meneruskan kempen musim 2019-20 pada Sabtu depan, Spadafora berkata dalam satu video Facebook semalam: "Kami akan segera memaklumkan mengenai keputusan jawatankuasa saintifik berkenaan protokol media FIGC (Persatuan Bolasepak Itali).

"Kami juga bersedia mengusulkan garis panduan kepada jawatankuasa untuk sesi latihan yang melibatkan semua sukan berpasukan dan garis panduan untuk membuka fasiliti termasuk gimnasium, kolam renang dan dewan tarian.

"Ia akan membenarkan setiap orang yang bekerja dalam bidang sukan untuk meneruskan aktiviti mereka.

"Yang terakhir, kami juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, bagi memberikan peluang sama rata dan kekeluargaan untuk membuka semula kemudahan sukan, jadi kami dapat memastikan musim panas untuk bersukan buat golongan muda masyarakat kami.

"Jadi, secara berperingkat, sukan akan kembali.

"Ia akan lebih kuat daripada sebelumnya," katanya.

Juara bertahan, Juventus, berada di puncak liga dengan kelebihan satu mata di depan Lazio sebelum Serie A ditangguhkan.