COVID-19: Sancho mohon maaf langgar protokol, berpesta

Oleh Muzaffar Musa 6 Oktober 2020 271
COVID-19: Sancho mohon maaf langgar protokol, berpesta
Jadon Sancho memohon maaf selepas melanggar protokol koronavirus apabila gambarnya berpesta bersama dua lagi pemain England, Tammy Abraham dan Ben Chilwell, tersebar.

Ketiga-tiga pemain itu sedang disiasat Persatuan Bolasepak England (FA) selepas menghadiri satu majlis hari jadi yang dilaporkan dianjurkan oleh Abraham di rumah penyerang itu di London, Sabtu lalu.

Peraturan koronavirus di United Kingdom ketika ini tidak membenarkan sebarang perhimpunan lebih daripada enam orang dengan penjarakan sosial tetapi akhbar British, The Sun, mendakwa lebih kurang 20 orang berada dalam majlis itu.

Menerusi satu kiriman Instagram, Sancho berkata: "Saya mahu memohon maaf kerana melanggar garis panduan kerajaan dan walaupun saya tidak mengetahui jumlah yang berada dalam majlis itu sebelum tiba di sana, saya bertanggungjawab di atas kelakuan saya.

"Saya akan memastikan bahawa saya mempelajari sesuatu daripadanya selepas ini."

Sebagai langkah pencegahan, England mengesahkan ketiga-tiga pemain itu telah diarahkan untuk menunda ketibaan mereka bagi tugasan antarabangsa sehingga siasatan FA selesai.

Skuad Three Lions itu akan menghadapi Wales dalam satu perlawanan persahabatan Khamis ini sebelum bertemu Belgium dan Denmark dalam Liga Negara-Negara Eropah.

Sancho, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, telah melakukan tiga penampilan selain menjaringkan satu gol buat Borussia Dortmund musim ini.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen