Covid-19: Saingan Perancis diingatkan usah terburu-buru

Oleh Shaiful Shamsudin 21 April 2020 106
 Covid-19: Saingan Perancis diingatkan usah terburu-buru
Kesatuan pemain bola sepak profesional di Perancis memberi amaran agar Ligue 1 musim ini  tidak diteruskan berikutan jadual padat yang boleh menjejaskan kesihatan pemain.

Ligue 1 dan Ligue 2 ditangguhkan sejak 13 Mac lalu kerana wabak novel koronavirus (Covid-19) sambil negara itu melancarkan kawalan pergerakan sehingga sekurang-kurangnya 11 Mei depan.

Satu laporan di L'Equipe minggu lalu mengatakan bahawa penganjur liga mempertimbangkan untuk memulakan saingan Ligue 1 pada 3 Jun atau 17 Jun depan dengan setiap pasukan mungkin perlu beraksi setiap tiga hari bagi menyudahkan kempen musim pada 25 Julai kerana langkah itu akan menawarkan masa untuk perlawanan play-off termasuk penyingkiran liga pada awal Ogos depan.

Menurut Presiden Bersama Kesatuan Pemain Bola Sepak Profesional Kebangsaan (UNFP), Sylvain Kastendeuch, kalendar padat itu akan mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan dan permainan berisiko menjadi tidak menghiburkan buat peminat.

Sebaliknya, Kastendeuch menyarankan bahawa keutamaan harus dibuat dengan memastikan musim 2020-21 berlangsung seperti biasa, bukannya terburu-buru untuk menamatkan musim ini.

"Jelas sekali kita sering melupakan aspek ini: tanpa pemain, tidak ada bola sepak!" tulisnya di ruangan Le Monde. 

"Oleh itu, kita mesti menjaga dan melindungi mereka daripada terdedah dengan risiko.

"Analisis perubatan yang dilakukan oleh UNFP dan Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPro) memberi amaran mengenai risiko fizikal yang tinggi sekiranya perlawanan diadakan setiap tiga hari setelah sekian lama terhenti: keletihan, peningkatan enam kali ganda terhadap kecederaan otot pada penghujung perlawanan kedua selain penurunan prestasi.

"Haruskah risiko ini diambil? Pertanyaan itu wajar dibangkitkan kerana ini adalah masalah sebenar bagi pemain, demi karier mereka, untuk industri secara keseluruhannya dan terutama untuk menawarkan perlawanan.

"Adakah ia dapat memenuhi harapan itu, khususnya pada masa-masa sukar ini? Kita harus memikirkannya secara kolektif.

"Darurat ekonomi tidak boleh didahulukan berbanding kepentingan kesihatan awam. Ayuh ketepikan hasrat merebut kejuaraan dalam keadaan seperti ini -- penyambungan semula liga yang terburu-buru akan mengundang bahaya.

"Hari ini, perkara yang perlu dilakukan adalah mengatur syarat-syarat untuk menjayakan musim depan dan tunjukkan teladan dalam bola sepak yang sangat kita sayangi ini.

"Untuk membolehkan pemain berbakat terus menyinar (pada masa depan) pada pandangan saya adalah lebih wajar, adil dan mulia supaya kelak kita boleh membuat pilihan berdasarkan naluri."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen