Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengambil keputusan untuk membatalkan saingan Liga M3 musim 2020 demi kebaikan kelab-kelab amatur tempatan dalam mengharungi pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini, satu keputusan terpaksa diambil demi kesihatan dan keselamatan masyarakat selain mengambil kira impak kepada kedudukan kewangan kelab amatur Liga M3.

Jelas beliau, keputusan untuk membatalkan saingan Liga M3 musim ini berpandukan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tatkala kebanyakan perlawanan Liga M3 yang bermain di venue secara terbuka, ia pasti menyukarkan pelaksanaan SOP bagi pengelolaan perlawanan khususnya dalam memantau pergerakan individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung selepas MKN tidak membenarkan sebarang perhimpunan beramai-ramai.

Malah, kekangan kewangan pasukan Liga M3 yang terhad untuk mengikuti SOP atau peralatan yang diwajibkan oleh MKN dan KKM bagi proses saringan COVID-19 seperti cecair pembasmi kuman atau alat pengimbas suhu badan turut diambil kira memandangkan ia menambahkan perbelanjaan pasukan tuan rumah.

Sebagai rekod, masih terdapat 16 baki perlawanan Liga M3 musim 2020 tidak termasuk perlawanan suku akhir, separuh akhir dan final di mana saingan Liga M3 dibahagikan kepada dua kumpulan dengan empat pasukan terbaik akan ke peringkat suku akhir, separuh akhir dan final di mana saingan Liga M3 ketika itu terpaksa ditangguhkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 Mac lalu.

“Selain mengambil kira kos tambahan berkenaan SOP yang dikehendaki oleh KKM dan MKN, AFL juga tidak bercadang untuk meneruskan Liga M3 pada September 2020 memandangkan baki 16 perlawanan yang akan diharungi oleh semua pasukan tidak dapat ditamatkan pada penghujung Disember.

“Ini kerana disebabkan kebanyakan pemain-pemain pasukan amatur Liga M3 adalah kakitangan kerajaan atau pihak swasta yang hanya boleh bermain pada hujung minggu sahaja iaitu diluar waktu kerja. Melihat kepada situasi ini, amat sukar untuk beberapa pasukan mematuhi SOP yang ketat jika liga kembali bersambung.

“Tambah memeritkan, kita dapat melihat penaja-penaja pasukan tidak menyambung kontrak dan ada yang terpaksa undur diri gara-gara perniagaan mereka mengalami kerugian disebabkan pandemik COVID-19 sekali gus perkara ini akan membantutkan persedian pasukan dari segi kewangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Yusoff juga memberitahu AFL sedang merancang mekanisme terbaik bagi membantu perjuangan kelab-kelab berstatus amatur ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.

Beliau berkata AFL akan sentiasa membuka pintu bagi semua pasukan memberikan cadangan atau pandangan dalam masalah yang dihadapi oleh pasukan ketika menangani isu wabak COVID-19.

“Proses pengstrukturan Liga M3 yang memasuki minggu ketiga dan sepatutnya bermula pada tahun 2021 akan dikaji semula secara terperinci oleh AFL di mana pengstrukturan semula yang dirancang itu akan dibentangkan serta dimaklumkan kemudian selepas memahami detik sukar pasukan-pasukan dalam mengharungi pandemik COVID-19.

“Sementara itu, MFL turut menyarankan supaya penganjur-penganjur Liga M4 untuk turut sama membatalkan penganjuran Liga M4.

“Penamatan kontrak atau perjanjian pemain dan pegawai pasukan harus mengikuti undangundang negara berkaitan akta-akta kontrak selain mencapai persetujuan bersama di antara kedua pihak.

“Segala perkara berhubung Liga M3 adalah di bawah kuasa Ahli Lembaga Pengarah MFL dan sebarang pemakluman atau penambahbaikan akan dimaklumkan selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL bersidang,” ujarnya.

Sebagai makluman, 12 pasukan terdiri daripada Liga M3 dan Liga M4 yang telah melayakkan diri ke pusingan kedua Piala FA 2020 juga telah terbatal kelayakan selepas keputusan MFL tidak meneruskan saingan Piala FA sekiranya pihak kerajaan membenarkan Liga M disambung semula seperti kenyataan media MFL sebelum ini.