Covid-19: Saingan Brazil ditangguhkan

Oleh Shaiful Shamsudin 16 Mac 2020 37
Covid-19: Saingan Brazil ditangguhkan
Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) mengumumkan penggantungan semua pertandingan bola sepak di semua peringkat kebangsaan dalam tempoh belum yang diketahui tatkala Presiden CBF, Rogerio Caboclo, berikrar membantu memerangi penyebaran wabak koronavirus baru (Covid-19) di Brazil.

Keputusan itu dibuat selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)  menangguhkan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Selatan yang dijadualkan pada 26 hingga 31 Mac ini sambil semua kejohanan yang rancak berlangsung di negara itu akan dikaji semula oleh CBF.

Kenyataan di laman sesawang rasmi CBF menjelaskan bahawa konfederasi itu mempunyai kuasa untuk menentukan kejohanan mereka sendiri namun mereka menekankan kepentingan terhadap pelarasan tindakan mengenai pandemik koronavirus.

"CBF memutuskan untuk menggantung semua kejohanan mulai hari ini, 16 Mac, untuk tempoh yang belum pasti lagi. Kejohanan yang sedang berlangsung ialah Copa do Brasil, Kejohanan Wanita Brazil A1 dan A2, Kejuaraan Brazil B-17 dan Copa do Brasil B-20," kata kenyataan itu.

"CBF akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan demi negara dan sukan bagi mengatasi cabaran besar berhubung dengan pandemik ini dengan harapan bahawa kita dapat kembali menjalani kehidupan normal secepat mungkin."

Caboclo pula berkata: "Kami tahu dan menganggap adalah menjadi tanggung jawab bola sepak dalam usaha menentang penularan Covid-19 di Brazil."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen