Cristiano Ronaldo tidak sepatutnya bergambar di kolam renang dan patut menjalani kuarantin di Itali ketika krisis coronavirus, kata bekas Pengerusi Juventus, Giovanni Cobolli Gigli.

Ronaldo ketika ini berada di Madeira selepas pulang ke kampung halaman pada awal bulan ini susulan masalah kesihatan yang dihadapi ibunya.

Dia kembali bersama Juve ketika menundukkan seteru Serie A, Inter Milan, dalam aksi yang dijalankan dalam stadium tertutup, 8 Mac lalu sebelum meninggalkan semula Itali setelah negara itu isytiharkan darurat.

Sejak itu, saingan bola sepak di Eropah ditangguhkan tatkala pihak kerajaan meneruskan usaha menentang wabak coronavirus yang telah meragut lebih 23,000 nyawa di seluruh dunia.

Untuk memerangi wabak itu, Ronaldo dilaporkan menyumbangkan sejumlah besar wang kepada tiga unit kesihatan untuk pesakit coronavirus di hospital di Portugal.

Namun, Gigle -- yang mengetuai Juve ketika dilanda skandal Calciopoli -- percaya juara Serie A itu tidak menangani situasi itu dengan baik.

"Situasi di Juve menjadi kalut apabila Ronaldo meninggalkan skuad," katanya.

"Dia memaklumkan ke Portugal kerana ibu tetapi kini dilihat bergambar di kolam renang.

"Apabila pengecualian dibuat untuknya, ia membuatkan pemain lain mahu meninggalkan pasukan dan perkara ini tidak seharusnya berlaku.

"Mereka patut menjalani proses kuarantin."

Rakan sepasukan Ronaldo, Daniele Rugani, Blaise Matuidi dan Paulo Dybala telah disahkan positif ujian virus itu.