Real Madrid telah mengumumkan pemotongan gaji pemain dan jurulatih daripada skuad bola sepak serta bola keranjang ketika wabak coronavirus.

Pengarah kelab juga bersetuju menawarkan diri menerima pemotongan gaji bagi musim 2019-20 tatkala kesemua saingan sukan profesional di Sepanyol ditangguhkan kerana negara itu berdepan krisis serius.

Pemotongan gaji sekitar 10 hingga 20 peratus itu juga bergantung kepada keadaan musim 2019-20.

"Keputusan ini dilakukan oleh pemain, jurulatih dan majikan untuk mengelak kesan buruk terhadap semua pekerja lain serta bertujuan menyumbang kepada objektif ekonomi yang terkesan susulan penangguhan kejohanan," kata wakil kelab itu.

"Jawatankuasa perniagaan kelab menyokong penuh keputusan ini sebagai tanda bertanggungjawab dan menjadi contoh.

"Real Madrid berbangga memiliki keluarga yang hebat berteraskan nilai budaya dalam situasi sukar seperti ini.


"Dalam masa sama, kami mahu memberikan kasih sayang serta penghormatan buat mereka yang terkesan dengan wabak ini terutama kelompok yang kehilangan ahli keluarga dan tersayang.

"Kami mengucapkan semoga cepat sembuh buat mereka yang sakit dan mahu memberi sokongan penuh buat mereka yang memainkan peranan dan menjadi contoh memerangi COVID-19.

"Daripada Real Madrid, kami menawarkan sokongan dan kekuatan untuk bersatu tanpa ragu dalam tempoh sukar ini."