Covid-19: Real Madrid ikrar tawan LaLiga demi peminat -– Vinicius

Oleh Shaiful Shamsudin 23 Mei 2020 12
Covid-19: Real Madrid ikrar tawan LaLiga demi peminat -– Vinicius
Vinicius Junior berkata Real Madrid mahu memenangi LaLiga demi peminat mereka berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19). 

LaLiga ditangguhkan sejak Mac lalu kerana krisis pandemik itu namun dia berharap saingan berkenaan dapat disambung semula bulan depan.

Madrid ketinggalan dua mata di belakang juara bertahan dan seteru ketat, Barcelona, selepas 27 perlawanan.

Koronavirus telah mencetuskan malapetaka di Sepanyol dan seluruh dunia, sehubungan itu bintang muda Madrid tersebut ingin menawarkan sesuatu kepada penyokong Los Blancos.

"Saya telah menyaksikan perlawanan itu sekali lagi dan saya rasa begitu. Kami lebih unggul daripada mereka dalam banyak aspek," katanya kepada Marca ketika ditanya apakah dia fikir pasukannya lebih baik daripada Barca dalam dua pertemuan LaLiga mereka musim ini.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Como é bom estar de volta... ⚽️🤩

A post shared by Vinicius Jr. ⚡️🇧🇷 (@viniciusjunior) on



"Kami mempunyai permainan yang sangat baik hingga sekarang dan kami harus memulihkan prestasi terbaik. Kami benar-benar ingin kembali, untuk menang dan kami mahu memenangi gelaran liga buat peminat kami. Ramai yang menderita jadi kami ingin memberikan sesuatu yang menggembirakan kepada peminat Real Madrid dalam keadaan ini.

"Kami sedar bahawa memenangi liga tidak akan menjadi jalan keluar terhadap tragedi ini tetapi ia akan menjadi sesuatu yang menggembirakan."

Dengan saingan berbaki 11 perlawanan, pemain dari Brazil itu menambah: "Keputusan menentang (Real) Betis adalah sangat memalukan (kekalahan mengejut 1-2) . Kini, kami mempunyai misi, kami tidak boleh gagal dan kami tidak akan gagal."

"Kami mungkin baru kembali berlatih sejak 11 hari yang lalu tetapi rentak setiap orang kelihatan bagus," sambungnya. 

"Masih banyak kerja secara berkumpulan yang perlu dilakukan tetapi ia belum dibenarkan. Bagaimanapun, kesemua rakan sepasukan saya sangat kuat dan bagus. Masih ada banyak perkara yang perlu dilakukan, tetapi kami berasa baik."

Madrid juga tewas 1-2 kepada Manchester City di Santiago Bernabeu dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

UCL mungkin kembali Ogos depan, lantas Vinicius berkata: "Jika UCL kembali, ia akan menjadi berita baik bukan hanya untuk bola sepak malah dunia. Dapat beraksi di negara lain akan menjadi satu petanda yang sangat positif bahawa kita akan lebih dekat dengan kehidupan yang normal.

"Keputusan perlawanan pertama menentang Manchester City adalah buruk tetapi kami adalah Real Madrid. Kewajipan kami adalah untuk mempersiapkan diri dengan baik agar apabila tiba perlawanan itu dan segalanya berakhir, setiap peminat Real Madrid dapat mengatakan: mereka mencurahkan segalanya, kami bangga."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen