Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan tiga pemain dan seorang kakitangan mereka diuji positif COVID-19.

Juara Ligue 1 itu, yang dinobatkan April lalu berikutan baki saingan domestik musim ini dibatalkan dan kedudukan diputuskan berdasarkan kedudukan mata per perlawanan, akan kembali berlatih menjelang perlawanan akhir Coupe de France dan Coupe de la Ligue termasuk Liga Juara-Juara (UCL).

PSG dijadualkan menentang Saint-Etienne dalam final Coupe de France pada 25 Julai, kemudian kurang seminggu selepas itu, akan berhitung dengan Lyon bagi gelaran Coupe de la Ligue.

Pasukan asuhan Thomas Tuchel itu mara ke suku UCL yang akan bersambung di Lisbon, Ogos depan.

Kelab itu melakukan ujian yang mengesahkan kes berkenaan semalam.

Satu kenyataan di laman sesawang PSG berbunyi: "Individu-individu ini telah menunjukkan gejala sejurus dilepaskan daripada tugasan dan mereka tidak bersentuhan antara satu sama lain.

"Ia tidak lagi menjangkiti dan mereka akan meneruskan program latihan."

PSG dijadualkan untuk meneruskan latihan dalam kumpulan kecil esok.