Paris Saint-Germain (PSG) diisytiharkan sebagai juara Ligue 1 selepas Ligue de Football Professionnel (LFP) mengesahkan bahawa kedudukan akhir liga itu ditentukan berdasarkan purata jumlah mata bagi setiap perlawanan.

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, Selasa lalu berkata saingan liga musim 2019-20 tidak dapat diteruskan kerana pihaknya melarang sebarang aktiviti sukan sehingga September depan dan LFP terpaksa mempertimbangkan kesan terhadap sukan dan ekonomi bagi dua liga utama mereka.

Selepas bermesyuarat semalam, LFP membuat keputusan bahawa kedudukan akhir musim ini akan ditentukan berdasarkan purata jumlah mata bagi setiap perlawanan, sekali gus meletakkan PSG, yang berkelebihan 12 mata di puncak sebelum liga direhatkan, sebagai juara.

"Kami perlu bekerja keras untuk menentukan juara. Kami masih mempunyai kesukaran yang akan tiba. Kami berada dalam suasana di mana terdapat banyak ketegangan dalam sukan, kata Presiden LFP, Nathalie Boy de la Tour, dalam sidang media.

"Kami sedang mengusahakan senario pemulihan bagi pertengahan bulan Jun.

"Kami sedang berusaha daripada aspek ekonomi dan kewangan kelab: penajaan dan penjualan tiket.

"Kami perlu bekerja di belakang tabir. Saya tidak mahu bercakap untuk tidak berkata apa-apa -- saya akan tiba dengan satu keputusan yang kukuh.

"Kami membuat keputusan untuk menamatkan musim 2019-20 dan kami menganugerahkan gelaran juara Ligue 1 kepada PSG dan Lorient pula juara Ligue 2," katanya.

Pengarah Eksekutif LFP, Didier Quillot, pula mengesahkan bahawa kedudukan akhir itu ditentukan berdasarkan penisbahan mata bagi setiap satu perlawanan sebelum menambah, hanya dua pasukan di tangga tercorot akan tersingkir ke Ligue 2 dan tiada perlawanan playoff untuk menentukan pasukan ketiga yang akan layak ke Ligue 1 atau disingkirkan ke Ligue 2.

Ia bermakna Toulouse dan Amiens akan tersingkir ke Ligue 2 manakala Lens akan mengiringi Lorient menyertai Ligue 1 musim depan.

"kedudukan itu ditentukan berdasarkan indeks prestasi dan kriteria penisbahan mata dalam setiap perlawanan setakat hari perlawanan ke-28.

"Ia undang-undang sama yang diguna pakai FFF (Persatuan Bolasepak Perancis).

"Terdapat dua kenaikan dan penyingkiran di antara Ligue 1 dan Ligue 2. Tiada playoff," katanya.

LFP mengeluarkan kedudukan akhir itu selepas pengumuman berkenaan dan ia mengesahkan bahawa Marseille dan Rennes akan mengiringi PSG dalam Liga Juara-Juara musim depan manakala Reims dan Nice dijangka menyertai Lille dalam Liga Europa sekiranya final Coupe de la Ligue dan Coupe de France tidak dapat berlangsung.