Zinedine Zidane mengetuai sesi latihan Real Madrid buat pertama kalinya sejak dijangkiti COVID-19 sementara Presiden, Florentino Perez, pula diuji positif COVID-19.

Pengurus Madrid itu perlu menjalani kuarantin sekali gus tersisih dalam kekalahan mengejut 1-2 anak buahnya kepada Alcoyano dalam kempen Copa del Rey, dua minggu lalu.

Los Blancos kemudian berhasil menundukkan Deportivo Alaves 4-1 sebelum menempa kekalahan 1-2 kepada Levante dalam LaLiga.

Madrid tergelincir ke tangga ketiga dan 10 mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid, yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan, tetapi Zidane mempunyai tempoh sepanjang minggu ini untuk mempersiapkan pasukannya berdepan Huesca, awal pagi Ahad ini.

Sungguhpun bekas ketua pasukan Perancis itu telah kembali ke padang latihan, hanya kelibat Sergio Ramos, Lucas Vazquez, Rodrygo dan Federico Valverde dalam sesi tersebut.



Dani Carvajal menjalani latihan di rumahnya sementara Nacho Fernandez perlu menjalani kuarantin pandemik itu.

Satu kenyataan ringkas kelab itu berbunyi: "Real Madrid ingin memaklumkan bahawa presiden kami, Florentino Perez, positif dalam ujian saringan COVID-19 berkala yang dilakukannya, namun dia tidak menunjukkan sebarang gejala."