Presiden Montpellier, Laurent Nicollin, menggesa kelab Ligue 1 agar tidak mencabar keputusan mengakhiri musim ini.

Menurutnya: "Sekiranya kami di kedudukan tercorot maka saya akan tutup mulut."

Kelmarin, Liga Bolasepak Profesional Perancis (LFP) mengumumkan nasib pasukan diputuskan berdasarkan kedudukan semasa setelah Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, melarang semua acara sukan hingga September depan berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19).

Paris Saint-Germain (PSG) dinobatkan sebagai juara manakala Amiens dan Toulouse, yang tersingkir ke Ligue 2, berharap mencabar keputusan itu.


Lyon, yang menduduki tempat ketujuh, turut menyatakan keinginan untuk mencabar keputusan itu berikutan perlu memenangi final Coupe de France menentang PSG atau Liga Juara-Juara (UCL) bagi mengelak daripada terlepas tiket saingan Eropah buat julung kalinya sejak 1996-97.

Menaruh hasrat sepak mula musim 2020-21 dilancarkan pada 22/23 Ogos depan, Nicollin memberi amaran kepada barisan kelab agar tidak mengganggu usaha itu.

"Jika terdapat bantahan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, maka kami mungkin tidak akan dapat menikmati hak penyiaran berikutnya. Ia boleh memicu krisis baru," katanya kepada Le Figaro.

"Saya mahu beritahu, 'sekiranya kami adalah Toulouse atau Amiens, kami juga akan melakukan hal serupa.' Saya sedar (dengan apa yang sedang lakukan). Sekiranya kami menamatkan saingan di tangga terakhir, atas kewajaran tertentu maka saya akan menutup mulut.

"Saya berpandangan seperti itu pada hari ini. Pada usia seperti ini, saya mungkin adalah orang yang sangat teruk."

Tambahnya: "Bantahan tidak akan menyelesaikan masalah kerana dalam dua atau tiga bulan lagi, kita mungkin masih dalam situasi yang sukar sehinggalah vaksin (Covid-19) ditemui.

"Tetapi kami mencuba segala cara untuk memulakan kempen 2020-21 dengan cara terbaik.