Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas, menghantar surat kepada Perdana Menteri Perancis dan menteri belia dan sukan negara itu supaya menarik balik keputusan tergesa-gesa menamatkan saingan Ligue 1 musim ini.

Kempen itu ditamatkan lebih awal bulan lalu selepas Perdana Menteri, Edouard Philippe, mengumumkan bahawa kesemua acara sukan di negara itu tidak dibenarkan sehingga September depan berikutan pandemik Covid-19.

Lyon terlepas slot ke Liga Europa musim depan apabila Ligue de Football Professionnel (LFP) mengesahkan kedudukan akhir liga itu ditentukan berdasarkan purata jumlah mata bagi setiap perlawanan.

Aulas enggan menerima keputusan untuk menamatkan saingan musim ini dengan berkata ia boleh bersambung pada Ogos depan sambil mempertikaikan integriti Jawatankuasa Eksekutif LFP dan memberi amaran "bencana ekonomi" sedang menanti Liga Perancis.

Dengan Bundesliga meneruskan saingan di Jerman manakala liga di Sepanyol, Itali dan England sedang bersedia untuk meneruskan operasi, Aulas mahu keadaan di Perancis diperbetulkan.

Lyon semalam menerbitkan satu surat terbuka daripada presidennya buat Kerajaan Perancis, lapan hari sebelum mereka dijangka akan mengumumkan kelonggaran perintah berkurung di negara itu.

Ia tertulis "Jadi 2 Jun ini (ketika perintah berkurung dilonggarkan di Perancis) akan menjadi sinonim dengan harapan buat seluruh bola sepak Perancis."

Selepas mengulangi mengapa dia berasakan keputusan untuk menamatkan kempen musim ini perlu dibuat dengan penilaian yang lebih lama, Aulas turut menyatakan bahawa dia percaya saingan itu boleh diteruskan pada Julai depan.

Dia menyimpulkan: "Bolehkah kita juga menjadikan tarikh 2 Jun ini sebagai peluang terbaik untuk membetulkan kesilapan dalam bola sepak di Perancis dan membenarkan, dengan protokol kesihatan yang digunakan di mana-mana, untuk latihan kembali bersambung (bulan depan).

"Dan mengapa tidak, meneruskan baki saingan musim 2019-20 pada Julai atau Ogos depan memandangkan UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) memberikan cadangan itu pada 21 April lalu seperti yang disahkan oleh Aleksander Ceferin (presiden UEFA) pada 14 Mei lalu?"