Presiden LaLiga, Javier Tebas, yakin saingan di Sepanyol musim ini akan dihabiskan walaupun ia menjejaskan Kejohanan Euro 2020.

Sepanyol teruk dilanda pandemik koronavirus baru (Covid-19) dengan 288 orang meninggal dunia akibat wabak itu.

Dengan perintah berkurung di negara itu, kempen LaLiga telah ditunda sekurang-kurangnya untuk dua perlawanan lagi.

Tatkala pandemik itu masih merebak, 55 negara anggota Persatuan Bolasepak (Eropah) UEFA akan bertemu esok untuk membincangkan nasib Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Europa musim ini di samping Euro 2020.

Timbul keraguan berhubung kekangan masa untuk mereka melengkapkan musim domestik di Eropah dan sekalipun Euro 2020 boleh ditangguhkan, Tebas yakin kempen musim ini boleh dihabiskan.

"Saya yakin kami akan menghabiskan musim ini, kami sedang bekerjasama dengan liga lain untuk memadankan tarikh," kata Tebas dalam temu bual dengan stesen radio, Cadena COPE.




"Saya mempunyai orang hubungan di Itali, Jerman. Pendekatan yang boleh diambil ketika ini ialah melihat apa yang akan berlaku esok membabitkan penganjuran Euro 2020 sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

"Kelab-kelab besar di Eropah juga menempuhi tempoh yang sukar, bukan sekadar kelab kerdil sahaja.

"Berita yang ingin diketahui ialah untuk melihat bagaimana kami dapat menamatkan saingan tempatan sekiranya Euro 2020 tidak dilangsungkan. Jika tidak, kami akan menghadapi masalah yang serius. Kami haruslah dalam keadaan baik yang merupakan agenda utama.

"Sekiranya kejohanan tempatan terpaksa dibatalkan, maka segalanya akan dikaji semula dan pendapatan pasukan bakal menjadi lebih kecil. Semua belanjawan pasukan akan diragui jika saingan liga tidak dapat disudahkan tetapi saya yakin ia akan berakhir."

LaLiga musim ini memaparkan saingan sengit yang menyaksikan Barcelona memiliki kelebihan dua mata di depan Real Madrid selepas 27 daripada 38 perlawanan.