Presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIG), Gabriele Gravina, tetap berharap saingan Serie A dapat diteruskan sekitar Julai atau Ogos depan walaupun berdepan kekangan wabak coronavirus.

Seperti saingan lain di dunia, Serie A dihentikan sementara akibat krisis COVID-19 yang telah meragut lebih 21,100 nyawa.

Itali merupakan negara paling teruk terkesan, melibatkan 7,500 kematian dan sekitar 74,300 kes disahkan sekali gus membuatkan hospital dan pekerja kecemasan bergelut untuk menghadapinya.

Beberapa pemilik Serie A berdebat sama ada saingan 2019-20 perlu diteruskan atau ditamatkan lebih awal tetapi Gravina tidak berputus asa tatkala Euro 2020, Copa America dan Sukan Olimpik telah ditangguhkan.

"Selagi mampu, saya tidak putus asa untuk menyambung saingan. Saya akan lakukan apa sahaja untuk merealisasikannya dan jauh sekali untuk berputus asa," katanya.

"Saya sedar masih terlalu awal untuk memikirkan tarikh tetapi kami harus berfikir secara positif. Kami akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan sokongan daripada UEFA dan FIFA mengenai tempoh selepas 30 Jun termasuk menggunakan ruang dalam Julai atau Ogos depan.

"Ketika ini, tiada ruang buat kepentingan peribadi. Saya memberitahu pendapat tetapi FIGC akan membuat keputusan.

"Hari ini, akan ada pelantikan baru dalam usaha kerajaan cuba melakukan beberapa perubahan tetapi dalam masa sama terdapat isu lain berkaitan.

"Kami tidak meminta wang tetapi menolak krisis itu. Kami meminta bantuan kerajaan dalam usaha menilai dan membantu permainan moden.

"Lihat nanti apa keputusan dan kami akan bertemu semula pada minggu depan untuk sebarang usaha berterusan dan menjayakan mana-mana projek.

"Saya melihat pembatalan saingan sebagai satu kegagalan serta menurunkan nilai kejohanan. Ia akan membawa kepada situasi yang tidak diinginkan.

"Saya juga menolak sekeras-kerasnya sebarang andaian yang membawa kepada kata pututs. Selagi ia boleh dibuat, saya menolak semua kebarangkalian."