Mungkin tidak banyak tawaran yang bakal diterima Paul Pogba dalam jendela perpindahan yang akan datang berikutan kelab-kelab ketika ini bergelut untuk menampung perbelanjaan besar, menurut Pengarah Sukan Juventus, Fabio Paratici.

Bekas bintang Juve itu sering dikaitkan akan meninggalkan Manchester United dengan Bianconeri, Inter dan Real Madrid antara yang disebut-sebut sebagai destinasi yang berpotensi.

Namun, aktiviti bola sepak terpaksa ditangguhkan dan ada liga utama di Eropah yang sudah dibatalkan musim ini berikutan krisis novel koronavirus (Covid-19).

Kelab-kelab elit terpaksa berunding untuk pemotongan gaji atau penangguhan pemain bagi menjimatkan wang berikutan kekangan menjana pendapatan daripada hak penyiaran dan penjualan tiket.

Paratici berpendapat pemain tengah Perancis itu adalah salah satu contoh bintang ternama yang akan berdepan laluan berliku dalam pasaran perpindahan kelak.

"Pogba merupakan pemain yang hebat tetapi tonggak handalan seperti ini mungkin bergelut untuk mengundang minat yang sama seperti sebelumnya," katanya kepada Sky Sport Italia.



Menekankan keperluan untuk mengambil pendekatan "kreatif" dalam urusan perpindahan, Paratici menjelaskan: "Dalam masa terdekat, pasaran perpindahan tidak akan melibatkan wang yang banyak.

"Kami mengalami situasi yang rumit di seluruh dunia. Kami perlu bergantung kepada pertukaran pemain, pinjaman jangka masa panjang. Sekiranya anda tidak dapat membeli rumah maka anda perlu menyewa. Perkara yang sama akan berlaku dalam bola sepak.

"Ini adalah formula yang akan digunakan untuk mengurangkan pembayaran dan memanfaatkan khidmat pemain yang diperlukan.

"Sekiranya kita bercakap tentang 10 atau 20 pasukan teratas di dunia yang kerap bertukar pemain, nilai pasaran tidak akan turun.

"Sebaliknya, mereka akan menikmati gaji yang lebih rendah tetapi jika anda menjual pemain, nilainya akan turun."

Ketika memperkuatkan gergasi Serie A itu, Pogba menjulang empat trofi Scudetto, dua dalam Coppa Itali dan Supercoppa Itali selain mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) 2014-15.