Saingan play-off untuk mengesahkan tempat Kejohanan Eropah berkemungkinan besar diadakan pada Oktober dan November depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bolasepak Ireland (FAI), Gary Owens.

Wabak coronavirus menyebkan penangguhan Euro 2020 selama 12 bulan tatkala saingan play-off yang dijadualkan bulan lalu turut ditangguhkan.

Tiada pengesahan tarikh untuk saingan antarabangsa kembali beraksi sekali gus perlawanan play-off tidak menerima sebarang petanda untuk diadakan.

Republik Ireland merupakan antara negara yang menunggu pengesahan, sama seperti lawannya, Slovakia, atau Bosnia-Herzegovina dan Ireland Utara.

Semalam, UEFA melakukan kemaskini bersama negara ahli menerusi sidang video dan Owens mendedahkan waktu untuk saingan play-off diadakan.

"Terdapat beberapa langkah untuk tarikh perlawanan. Asalnya, kami fikir ia mungkin pada November depan tetapi kini separuh akhir mungkin diadakan pada Oktober nanti," katanya.

"Mereka tidak mahu mengadakan aksi separuh akhir dan final dalam bulan yang sama. September bakal menyaksikan perlawanan Liga Negara-Negara UEFA sambil separuh akhir play-off diadakan pada Oktober sebelum final, sebulan kemudian."