Perlawanan Norway menentang Romania dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi tadi terpaksa dibatalkan selepas pihak berkuasa kesihatan negara itu tidak membenarkan pasukan mereka ke luar negara susulan kes positif koronavirus.

Persatuan Bolasepak Norway (NFF) mengesahkan pada Jumaat lalu bahawa pertahanan Galatasaray, Omar Elabdellaoui, telah dijangkiti COVID-19 dan diasingkan daripada pasukan itu.

Norway berharap mereka dibenarkan untuk bermain di National Arena, Bucharest, seperti yang dirancangkan tetapi tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

Presiden NFF, Terje Svendsen, berkata dalam satu kenyataan: "Kami tidak bersetuju dengannya tetapi sudah pasti kami tidak boleh membantah kerajaan."

Ia merupakan perlawanan UNL pertama dibatalkan gara-gara koronavirus dan Norway kini berkemungkinan akan tewas 0-3 secara automatik kerana menarik diri daripada perlawanan penting Kumpulan B1 itu.

"Kami amat kecewa apabila pihak berkuasa tidak membenarkan kami ke luar negara.

"Kesemua 54 negara UEFA sedang beraksi di peringkat antarabangsa minggu ini kecuali Norway.

"Ia amat merugikan skuad kebangsaan untuk jangka pendek dan panjang," tambahnya.

Satu kenyataan yang dikeluarkan UEFA pula berkata: "Perkara itu kini diserahkan kepada Badan Pengendalian, Etika dan Disiplin UEFA agar keputusan yang diambil sesuai dengan peraturan khusus pertandingan pasukan Kebangsaan UEFA, seperti yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Eksekutif UEFA pada 29 Ogos 2020.

"UEFA ingin menegaskan pentingnya kesemua pasukan, pemain, pegawai dan semua yang terlibat untuk menghormati sepenuhnya Protokol UEFA Return to Play dan kerangka peraturan yang ditetapkan."