Liga Bolasepak Jerman (DHL) memanjangkan penundaan Bundesliga dan Bundesliga 2 sehingga 30 April ini berikutan pandemik Covid-19.

Satu mesyuarat yang diadakan pada awal bulan ini menyaksikan liga di Jerman ditunda sehingga 2 April ini -- keputusan sama yang diambil oleh lima liga utama di Eropah.

Bagaimanapun, disebabkan penularan wabak berkenaan yang masih menjadi kebimbangan global, DFL menimbang semula pendirian mereka dan membuat keputuan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti bolasepak di negara itu sehingga penghujung bulan depan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan berkata: "Presidium [daripada DFL] sedar bahawa semua senario dan pilihan untuk tindakan, juga bergantung kepada faktor luaran, berdasarkan perkembangan yang mana DFL dan kelab hanya mempunyai pengaruh yang terbatas atau tidak sama sekali: antara lain, penyebaran virus dan penilaian keadaan semasa berdasarkan politik.

"Berdasarkan latar belakang ini, presidium Perhimpunan Agung mencadangkan agar operasi Bundesliga dan Bundesliga 2 ditunda sehingga sekurang-kurangnya 30 April ini."

Keputusan UEFA untuk menangguhkan Euro 2020 selama 12 bulan telah memberikan masa tambahan untuk liga di Eropah menamatkan kempen domestik mereka.

Badan induk itu telah meminta persekutuan untuk menyelesaikan musim mereka pada 30 Jun depan dan DFL menyasarkan untuk memenuhi tuntutan itu bagi mengelakkan sebarang masalah.

Ia bermakna, baki perlawanan musim ini mungkin dilangsungkan secara tertutup.

Jerman merupakan negara ketiga yang paling terjejas di Eropah berdasarkan kes Covid-19 yang disahkan.

Sekurang-kurangnya 31,370 kes positif dilaporkan selain 133 kematian direkodkan disebabkan virus itu.