Pengerusi Eksekutif Besiktas, Ahmet Nur Cebi, antara yang didapati positif koronavirus dalam bola sepak Turki.

Tidak berapa lama selepas lapan individu yang tidak didedahkan daripada kelab itu disahkan dijangkiti Covid-19, Besiktas mengesahkan semalam bahawa Cebi turut didapati positif.

Pasukan itu dilaporkan telah menghentikan sesi latihan mereka walaupun Super Lig akan kembali bersambung pada 12 Jun ini.

Dalam satu kenyataan, Penasihat Pasukan Kesihatan Besiktas, Tekin Kerem Ulku, berkata: "Rawatan susulan dan proses penyembuhan terhadap mereka yang diuji positif telah bermula dengan segera di samping prosedur yang relevan."

Satu lagi pasukan dalam Super Lig, Kasimpasa, kemudian mendedahkan dua daripada pemain mereka turut diuji positif dan perlu dikuarantin.

Kelmarin, pasukan divisyen dua negara tu, BB Erzurumspor, berkata ujian saringan terbaru mereka berakhir dengan 11 keputusan positf di mana empat daripadanya adalah pemain.

Situasi itu pasti akan menambah tekanan buat Persatuan Bolasepak Turki, yang mengeluarkan keputusan untuk menyambung liga itu pada 6 Mei lalu.