Covid-19: Pemain Werder dikuarantin, sehari sebelum Bundesliga bersambung

Oleh Muzaffar Musa 16 Mei 2020 109
Covid-19: Pemain Werder dikuarantin, sehari sebelum Bundesliga bersambung
Werder Bremen mengesahkan terdapat seorang pemain mereka dikuarantin selama dua minggu, sehari sebelum saingan Bundesliga kembali bersambung.

Liga divisyen utama Jerman itu akan kembali meneruskan saingan bermula esok selepas ditangguhkan sejak Mac lalu disebabkan pandemik koronavirus.

Werder menjelaskan pemain yang tidak dinamakan itu masih belum diuji positif tetapi terdapat seseorang dalam lingkungan peribadinya telah dijangkiti Covid-19.

Kelab itu berkata dalam satu kenyataan: "Seorang ahli pasukan utama SV Werder Bremen telah ditempatkan untuk dikuarantin selama dua minggu selepas seseorang dalam lingkungan peribadinya diuji positif Covid-19 awal minggu ini.

"Walaupun pemain itu diuji negatif dalam kesemua saringan awal, keputusan untuk meletakkannya di dalam kuarantin dibuat bersama pihak kesihatan Bremen.

"Pemain itu diuji negatif dalam dua ujian lalu."
 
Pengarah Kesukanan, Frank Baumann, menambah: "Sebagai keputusannya, pasukan dan pegawai kami tidak diletakkan dalam keadaan berisiko.

"Ia menunjukkan bahawa protokol perubatan berjalan baik dan individu yang dijangkiti dapat dikesan lebih awal agar langkah-langkah yang diperlukan dapat dilaksanakan."

Bundesliga akan menjadi liga utama pertama di Eropah meneruskan saingan sejak pandemik koronavirus.

Bremen, yang berada di tangga ke-17 liga, akan berdepan Bayer Leverkusen esok.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen