Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Itali (AIC), Damiano Tommasi, menegaskan pemain gembira untuk meneruskan saingan musim ini walaupun masih dalam pandemik Covid-19.

Keputusan berkenaan penyambungan saingan Serie A musim ini dijangka akan diketahui Khamis ini selepas ia direhatkan sejak Mac lalu berikutan pandemik berkenaan.

Ketika pelbagai isu dibangkitkan, Tommasi berkata pemain mahu kembali beraksi sekiranya ia selamat untuk dilakukan.

"Jika setiap syarat dipenuhi, pemain gembira untuk kembali memulakan saingan," katanya kepada Sky Sport.

"Kritikan tidak bermakna ia merupakan penentangan terhadap penyambungan liga

"Suhu, perjalanan dan banyak lagi -- terdapat isu kritikal dan kami menegaskannya.

"Tetapi tetap ada keinginan untuk bermain dengan cara sebaik mungkin," katanya.

Bundesliga sudah mula bersambung selain LaLiga dan Liga Perdana Inggeris berkemungkinan akan mengikut langkah sama, dengan Ligue 1 menjadi satu-satunya daripada lima liga utama Eropah yang dibatalkan.

Juventus berkelebihan satu mata di depan Lazio selaku pendahulu Serie A sebelum liga itu direhatkan.