Ketua bolasepak Itali sedia untuk membatalkan Serie A dan menggunakan cara lain untuk mendapatkan kedudukan akhir jika wabak coronavirus memaksa penangguhan lebih lama.

Ia menjadi pilihan terakhir tetapi Presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina, sedar akan kepentingan perancangan lain jika situasi buruk berlaku.

Gravina yakin saingan Serie A dan Serie B dapat dilengkapkan selepas tarikh 20 Jun depan menjadi pilihan untuk liga bersambung.

Namun, selepas kempen 2019-20 ditangguhkan selama tiga bulan, mereka perlu bersedia memandangkan musim depan bakal bermula pada 12 September nanti.

Gravina berkata FIGC sentiasa mahu mengelak 'Pelan B' tetapi mereka perlu sentiasa bersedia jika kedudukan akhir terpaksa ditentukan dengan cara berbeza.

Dia juga berkata jika liga sekali lagi terganggu, sistem play-off akan diperkenalkan.

"Jika terdapat penangguhan lain, satu cara akan digunakan dan ia akan dipersetujui pada 8 Jun nanti, mengikut merit sukan," katanya.

"Kedudukan akan ditetapkan tetapi cara ini akan ditentukan pada akhir musim."