Napoli menunda sesi latihan mereka susulan pandemik Covid-19, demikian disahkan kelab berkenaan semalam.

Pasukan Serie A itu sepatutnya menyambung sesi latihan mereka esok walaupun sudah diberikan amaran mengenai bahaya wabak berkenaan yang mengakibatkan perintah berkurung di seluruh Itali.

Tetapi dengan angka kematian yang sudah melebihi 6,000 di negara itu, Napoli menunda sesi latihan mereka.

"Napoli mengumumkan bahawa sebarang aktiviti sukan akan ditunda sehingga makluman berikutnya," ciap kelab berkenaan dalam Twitter.

"Tarikh untuk sesi latihan disambung akan diumumkan bergantung kepada perkembangan semasa situasi kecemasan Covid-19."

Covid-19 telah mengorbankan sekurang-kurangnya 16,490 mangsa di seluruh dunia dengan lebih daripada 378,390 orang disahkan dijangkiti.