Covid-19: Moyang Fabregas pulih pada usia 95 tahun

Oleh Muzaffar Musa 30 April 2020 149
Covid-19: Moyang Fabregas pulih pada usia 95 tahun
Moyang kepada pemain tengah Monaco, Cesc Fabregas, pulih daripada Covid-19.

Bekas pemain Arsenal, Chelsea dan Barcelona itu mengesahkan berita itu menerusi satu ciapan dalam laman Twitternya.

"Dia mengatasi virus itu pada usia 95 tahun. Semalam, keputusan ujian itu keluar dan ia negatif," katanya dalam ciapan itu.

"Moyang saya seorang wanita yang gagah tetapi dia pasti tidak dapat melakukannya tanpa bantuan semua jururawat dan doktor, yang mempertaruhkan nyawa mereka setiap masa supaya kita semua dapat hidup dengan lebih baik pada waktu yang sukar ini."

Fabregas turut memberikan penghargaan buat kesemua staf yang menjaga moyangnya di Barcelona dengan berkata: "Seluruh penghormatan buat mereka. Tiada apa yang mustahil."

Pemain berusia 32 tahun itu dilaporkan menawarkan untuk gajinya dipotong bagi membantu Monaco menghadapi impak ekonomi gara-gara pandemik berkenaan.

Kelmarin, saingan Ligue 1 musim ini sah tidak akan bersambung memandangkan kesemua acara sukan di Perancis digantung sehingga September depan.
   

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen