Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum memutuskan mengenai tempoh penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang terjejas susulan penularan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata tempoh penangguhan itu tertakluk kepada saranan dan panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan keadaan semasa dan tahap ancaman wabak penyakit berjangkit itu.

Beliau, bagaimanapun berkata MFL selaku badan pentadbir Liga-M mempunyai perancangan teliti sekiranya perjalanan liga domestik terpaksa ditangguhkan sehingga Jun.

"Kita sentiasa berhubung dengan KKM untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai COVID-19 untuk membuat keputusan mengenai tempoh penangguhan perjalanan liga dan secara mudahnya, jika kes menunjukkan penurunan ia mungkin isyarat liga boleh dijalankan lebih awal.

Tetapi melihat kepada perkembangan terkini, jumlah kes itu bertambah dan MFL bersedia sekiranya liga perlu ditangguhkan sehingga April, Mei atau Jun. Kita mempunyai perancangan dan komited untuk habiskan saingan liga musim 2020 ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Jumaat lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL mengarahkan kesemua pertandingan Liga-M minggu lepas dijalankan tanpa penonton sebelum ia akan ditangguhkan sementara sebagai langkah membendung penularan COVID-19

Selepas empat perlawanan Liga-M, juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal sebagai pendahulu dengan mengumpul 10 mata, sementara Terengganu FC II gah di persada Liga Premier selepas meraih kemenangan dalam empat aksi pertama.

Sementara itu, Ab Ghani berkata MFL setakat ini tidak mempunyai perancangan untuk menamatkan saingan liga secara pramatang.

Namun, beliau berkata tempoh penangguhan yang panjang akan mengakibatkan pasukan bertanding berdepan jadual perlawanan yang padat sejurus Liga-M bersambung semula.

-- BERNAMA