Bintang Real Madrid, Marcelo, berkata dia tidak sabar untuk menyambung aksi LaLiga yang tertangguh ekoran wabak coronavirus.

LaLiga ditangguhkan sejak Mac lalu susulan krisis Covid-19 tetapi saingan liga di Sepanyol itu akan kembali dijalankan pada 11 Jun depan, bermula dengan aksi Sevilla menentang Real Betis.

Semalam, Mahkamah Tinggi Sukan Sepanyol (CSD) berkata persetujuan telah dicapai dengan Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) dan LaLiga.

CSD mengeluarkan kenyataan mengesahkan perancangan untuk menamatkan musim pada penghujung Julai depan.

Real kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu yang juga juara bertahan, Barcelona, ketika aksi berbaki 11 perlawanan.

"Kami tidak pernah bercuti daripada latihan sebegini lama dan keinginan kami untuk bermain bola sepak telah meningkat sejak ia ditangguhkan," katanya.

"Kini, kami semakin hampir untuk beraksi semula dan kami tidak sabar.

"Ia berbeza dengan keadaan sebelum ini. Kami harus positif dan kini mengharungi rutin baru. Ia tidak lagi sama tetapi segalanya dalam keadaan baik.

"Kami semua sihat, latihan dijalankan dalam keadaan baik dan lancar. Selepas tidak menyentuh bola sejak sekian lama, anda kehilangan sentuhan di atas padang tetapi kini kami tidak sabar untuk beraksi semula."