Paolo Maldini dijangka akan pulih daripada jangkitan Covid-19 dalam tempoh seminggu lagi selepas disahkan positif oleh AC Milan hujung minggu lalu.

Legenda Itali itu, yang kini bertindak sebagai pengarah teknikal skuad Rossoneri itu, disahkan positif virus berkenaan bersama anak lelakinya yang berusia 18 tahun, Daniel.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu Sabtu lalu mendedahkan
kedua-dua individu berkenaan telah melengkapkan tempoh kuarantin selama dua minggu di rumah mereka dan akan meneruskannya sehingga disahkan pulih, sejajar dengan protokol perubatan di Itali.

Maldini mengirimkan satu video di laman Instagram miliknya untuk berterima kasih kepada semua yang mendoakannya dan yakin bahawa dia dan anaknya akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

A post shared by Paolo Maldini (@paolomaldini) on


"Dengan video ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan kasih sayang dan keprihatinan mereka di laman sosial terhadap kesihatan saya dan anak saya.

"Kami baik. Kami mungkin dapat pulih daripada virus ini dalam tempoh seminggu lagi.

"Terima kasih di atas perhatian yang anda telah berikan.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua doktor, jururawat, pekerja kesihatan, pegawai perlindungan awam dan penguatkuasa undang-undang yang menghadapi keadaan kecemasan ini dengan penuh profesional dan keberanian yang amat besar.

"Sekali lagi, anda membuatkan kami bangga menjadi warga Itali. Terima kasih," katanya.

Itali merupakan negara yang paling terjejas disebabkan pandemik berkenaan dengan angka kematian yang telah melebihi 6,000 orang.