Covid-19: Lopetegui: Pasukan LaLiga perlu persediaan lima minggu 

Oleh Shaiful Shamsudin 28 April 2020 44
Covid-19:  Lopetegui: Pasukan LaLiga perlu persediaan lima minggu 
Pengurus Sevilla, Julen Lopetegui, memberi amaran kepada LaLiga bahawa pasukan-pasukan memerlukan sekurang-kurangnya tempoh lima minggu sebagai persediaan untuk kembali beraksi kompetitif berikutan penangguhan musim ini angkara wabak novel koronavirus (Covid-19).

LaLiga tertangguh sejak awal bulan lalu berikutan pandemik yang telah menjangkiti seramai tiga juta orang itu termasuk melanda Sepanyol dengan dasyat -- kes tertinggi di Eropah ekoran 230,000 orang telah dijangkiti.

Seramai 23,521 orang di Sepanyol menjadi korban virus itu tetapi jumlah 288 kematian semalam adalah yang terendah sejak 20 Mac, lalu lalu mendorong kerajaan untuk mula melonggarkan kawalan pergerakan. 

Dengan penangguhan LaLiga sejak 23 Mac lalu dan tanda-tanda penurunan kes wabak itu di negara berkenaan, perhatian mulai terarah kepada sukan dan potensi untuk menyambungnya semula musim ini. 

Presiden Liga, Javier Tebas, sekali lagi mengulangi hasrat untuk mengadakan baki perlawanan musim ini di gelanggang tertutup tanpa tarikh yang tepat, namun Lopetegui yakin kelab perlu diberikan sekurang-kurangnya lima minggu untuk mengembalikan kecergasan. 

"Keadaan dan jaminan harus ada, kemudian kami harus memikirkan perancangan tentang jangka masanya," katanya, yang menerajui Sevilla untuk menduduki tangga ketiga LaLiga, kepada Sport.

"Akhir musim ini akan menjadi satu uji kaji kerana kami tidak tahu apa yang akan terjadi. Kami harus bertenang dan menunggu, kesihatan awam adalah kepentingan bersama."

 

Tambahnya: "Apa yang boleh saya jamin ialah perlawanan tidak akan berlangsung selepas cuti musim panas. Baik prestasi mahupun tahap pemikiran pemain tidak akan mencapai 20 peratus daripada kebiasaan pra-musim.

"Kami menyedari hal itu. Saya rasa apabila keadaan memungkinkan (perlawanan dilangsungkan) menerusi jaminan daripada kerajaan, kami juga memerlukan tempoh untuk menyelesaikan bahagian kesihatan yang lain, bukan sekadar virus.

"Jangan lupa bahawa dalam LaLiga dan Segunda, semua orang membayangkan perlawanan yang sengit tetapi itu bukanlah segala-galanya.

"Kita semua adalah manusia, wujud kebimbangan, virus ini pernah menjangkiti pasukan ini. Semua orang tidak dapat mengelakkannya tanpa mengira anda dalam bidang apa juga sekalipun, jadi keadaan ini mempengaruhi pemain.

"Kita harus bercakap mengenai masa persiapan tetapi sebagai pengurus, saya melihat kami memerlukan sekurang-kurangnya lima minggu untuk berada dalam situasi mampu mengharungi perlawanan dalam tempoh setiap tiga hari dalam suasana yang belum pernah dialami oleh sesiapa pun. 

"Bukan setakat beraksi di stadium tertutup, malah wabak ini mengundang mimpi buruk. Kami harus dalam keadaan fizikal yang terbaik."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen