Lima pemain Red Star Belgrade didapati positif COVID-19, menurut juara Serbia itu.

Saringan yang diketengahkan mengesan Marko Gobeljic, Njegos Petrovic, Dusan Jovancic, Marko Konatar dan Branko Jovicic positif pandemik itu.

Begitupun, Gobeljic, Petrovic, Jovancic dan Konatar yang menunjukkan gejala wabak itu sebelum perlawanan akhir Sabtu lalu, tidak menghadiri perlawanan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga tatkala skuad yang diketuai Dejan Stankovic tersebut meraikan gelaran SuperLiga yang ketiga berturut-turut di hadapan peminat sejurus mengetepikan Proleter Novi Sad 2-1.

Red Star juga beraksi di hadapan hampir 25,000 penyokong dalam pertembungan separuh akhir Piala Serbia menentang seteru ketat dan berjiran, Partizan, dengan kemenangan 1-0 pada 10 Jun lalu sejurus sekatan kawalan pergerakan di negara itu dilonggarkan.



"Pemain-pemain yang disebutkan berasa baik dan sedang menjalani kuarantin yang ketat selain berterusan berhubung dengan pasukan perubatan kelab," kata Red Star dalam satu kenyataan hari ini.

"Keadaan pemain-pemain ini sedang dipantau dengan cermat dan ujian baru akan dilakukan sebelum kami memulakan persiapan musim depan."

Red Star menambah: "Adalah penting untuk mendedahkan bahawa kesemua pemain, pengurusan dan kakitangan lain yang melakukan kontak rapat dengan skuad utama menunjukkan keputusan negatif. Red Star telah mengambil semua langkah keselamatan yang diperlukan dan kami akan terus melakukannya."