Lima pemain daripada dua liga divisyen utama Sepanyol didapati positif Covid-19.

Pemain daripada LaLiga dan Divisyen Segunda menjalani ujian saringan memandangkan musim 2019-20, yang ditangguhkan sejak Mac lalu, mungkin akan bersambung dalam masa terdekat.

LaLiga mengumumkan semalam bahawa terdapat lima pemain daripada kelab berbeza didapati positif virus berkenaan dan perlu mengasingkan diri.

LaLiga berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan: "Secara spesifiknya, di antara kelab LaLiga Santender dan LaLiga SmartBank, terdapat lima kes jangkitan pemain yang dikesan.

"Kesemuanya asimptomatik dan berada pada fasa terakhir penyakit itu, di mana identiti spesifik mereka tidak diketahui LaLiga berdasarkan undang-undang organik mengenai perlindungan data."

Pemain yang disyaki akan menjalani satu lagi ujian tidak lama lagi dan boleh kembali menjalani latihan selepas memperoleh dua keputusan negatif.

Barcelona antara kelab yang menyambung sesi latihan individu minggu ini dengan terdapat kemungkinan bahawa kempen musim ini akan kembali bersambung bulan depan.

Atletico Madrid turut memulakan latihan kelmarin walaupun terdapat laporan mendakwa Renan Lodi didapati positif virus berkenaan.

Marca melaporkan pertahanan sayap Brazil itu mengalami jangkitan tidak bergejala, namun masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Atletico.

Bagaimanapun kelab itu menciap satu ciapan: "Renan Lodi menabik anda dari rumah. Jumpa anda di lapangan tidak lama lagi!"

Real Madrid, dalam pada itu, akan menyambut kepulangan pemain mereka ke fasiliti kelab itu hari ini.