Pihak Liga Bola Sepak Perancis (LFP) tidak bercadang untuk menamatkan musim 2019-20 susulan coronavirus dan menegaskan akan menamatkan kempen selepas tarikh tamat pada 30 Jun depan jika perlu.

Selepas kebanyakan liga utama Eropah menangguhkan saingan sehingga bulan depan susulan wabak COVID-19, UEFA mengadakan persidangan video kelmarin, membentangkan rancangan untuk musim 2019-20.

Tatkala Euro 2020 dilanjutkan 12 bulan lagi, kebanyakan kelab bersetuju untuk memberi komitmen menamatkan semua saingan domestik dan Eropah sebelum akhir musim ini iaitu pada 30 Jun 2020.

Situasi itu bergantung kepada perkembangan coronavirus tetapi pihak LFP mencadangkan agar keutamaan diberikan untuk menamatkan musim pada bila-bila masa walaupun sekiranya selepas 30 Jun depan.

Pengarah Eksekutif LFP, Didier Quilot, berkata semalam: "Kami menetapkan dasar untuk melakukan apa sahaja bagi menamatkan saingan pada 30 Jun nanti.

"Sasarannya adalah 30 Jun tetapi jika perlu tamatkan kemudian, kami akan sesuaikan untuk kelab dan pemain. Kami akan bermain selagi mampu."

Presiden LFP, Nathalie Boy de la Tour, menambah: "Kami berbesar hati dengan penyatuan bola sepak Eropah.

"Pihak Majlis Pentadbiran mengadakn mesyuarat Selasa lalu untuk berpegang kepada keutamaan menamatkan Ligue 1 dan Ligue 2 selepas mengambil kira faktor kesukanan dan ekonomi. Ia memberikan impak kepada masa depan kelab serta bola sepak Perancis."

"Jika wabak ini berakhir dalam 15 hari lagi, kami akan menambah dua minggu untuk latihan sebelum menyambung aksi sekitar 15 April depan. Kami berusaha untuk semua perkata tetapi akan menyesuaikan dengan keadaan," tambah Boy de la Tour.