LaLiga merancang untuk kembali mengadakan latihan secara berkumpulan dengan sasaran untuk menyambung baki perlawanan bulan depan.

Bercakap minggu lalu, ketua LaLiga, Javier Tebas, meluahkan hasratnya untuk menyambung saingan musim ini yang tertangguh sejak Mac lalu akibat wabak koronavirus baru (Covid-19).

Eredivisie dan Ligue 1 sudah pun mengakhiri kempen masing-masing tetapi Liga Perdana Inggeris (EPL), Bundesliga dan Serie A masih berniat untuk melengkapkan baki perlawanan kempen 2019-20.

Kelab-kelab di Sepanyol pada dasarnya mula mengadakan sesi latihan secara individu minggu ini sebelum latihan berkumpulan dibenarkan, seperti yang dipersetujui dengan pihak kementerian sukan dan kesihatan.

"Kelab-kelab LaLiga kembali menjalani latihan minggu ini setelah mencapai persetujuan dengan Kementerian Kesihatan Sepanyol," demikian satu kenyataan daripada organisasi itu.

"Menerusi protokol latihan yang diketengahkan oleh LaLiga dan pakar perubatan, latihan individu pemain profesional dalam LaLiga Santander dan LaLiga SmartBank akan bermula -- setelah menjalani pemeriksaan perubatan.

"Persetujuan ini dicapai menerusi kata sepakat dengan kementerian sukan dan kementerian kesihatan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan untuk semua yang terlibat.

"Langkah-langkah ini dijangka akan diteruskan selama sebulan dengan fasa yang berbeza berdasarkan garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

"Oleh itu, fasa sesi latihan akan diadakan secara berperingkat -- daripada latihan solo kepada berkumpulan sebelum perlawanan dapat diadakan bulan depan."

Tebas menambahkan: "Krisis ini telah memberi impak mendalam buat kita semua. Kembalinya bola sepak adalah petanda bahawa masyarakat sedang bergerak ke arah normal baru.

"Ini juga akan mengembalikan elemen kehidupan masyarakat di Sepanyol dan seluruh dunia seperti yang kita kenali dan sayangi.

"Kesihatan adalah aspek paling penting. Kami mengetengahkan protokol komprehensif demi memastikan kesihatan semua pihak yang terlibat dalam usaha kami untuk menghidupkan semula LaLiga.

"Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku tetapi kami berharap saingan boleh dimulakan bulan depan dalam usaha melengkapkan musim 2019-20 pada musim panas ini."