Vincent Kompany sudah bersedia untuk mengumpulkan kembali pasukan Anderlecht bagi menjalani latihan dengan syarat perlu mengekalkan penjarakan sosial.

Pemain yang merangkap jurulatih itu memantau setiap pemainnya untuk kekal cergas di rumah dengan setiap bintang Anderlecht perlu menyertai sidang video aplikasi Zoom bagi menyertai sesi bersenam mereka.

Tetapi kebanyakan pemain utama pasukan itu dijangka akan kembali ke padang latihan di Neerpede selepas Anderlecht memutuskan bahawa sudah tiba waktu yang sesuai untuk mereka berkumpul di satu tempat yang sama.

Sebahagian besar kawasan di Belgium masih dalam tempoh perintah berkurung berikutan pandemik Covid-19 dan terdapat pengumuman pada 2 April lalu bahawa Pro League musim ini berkemungkinan akan dibatalkan.

Bagaimanapun, keputusan itu masih belum dimuktamadkan memandangkan liga musim ini hanya berbaki sepusingan.

Buat masa ini, Anderlecht telah memanggil semula kesemua pemain mereka untuk kembali menyarung jersi latihan dan berhimpun bersama sambil menegaskan bahawa kehadiran mereka pada sesi latihan esok adalah secara suka rela.

Terjahan dan kontak fizikal adalah dilarang dalam sesi latihan berkenaan.

Jurucakap kelab itu, David Steegen, berkata: "Pemain yang tidak berasa yakin boleh terus bekerja di rumah tetapi setiap pemain yang hadir di Neerpede akan mempraktikkan jarak keselamatan dan jurulatih akan mengendalikan latihan sambil menghormati jarak sosial."

Bercakap kepada penyiar perkhidmatan awam Belgium, RTBF, Steegen menambah: "Ia akan mengutamakan latihan fizikal tetapi juga dengan bola.

"Semua peralatan yang digunakan akan dibasmi kuman, sebelum dan selepas setiap sesi.

"Pemain tidak mempunyai akses ke bilik persalinan, mereka akan menukar pakaian dan mandi di rumah," tambahnya