Ketua Perubatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Michel D'Hooghe, berasakan kesemua aktiviti bola sepak tidak sepatutnya diteruskan sehingga permulaan awal musim depan bagi menghindari gelombang kedua pandemik Covid-19.

Ligue 1 dan Ligue 2 musim ini dibatalkan malam tadi selepas Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, mengumumkan bahawa liga profesional di negara itu tidak dibenarkan sehingga September depan.

Liga Eredivisie Belanda turut dibatalkan di samping saingan domestik di Argentina tetapi buat negara seperti England, Sepanyol dan Itali, mereka masih mahu meneruskan saingan musim ini.

D'Hooghe menegaskan bahawa faktor kesihatan perlu diberikan keutamaan berbanding kewangan.

Dalam satu temu bual bersama Daily Telegraph, dia berkata: "Kita semua perlu akur kepada keputusan yang dikeluarkan di peringkat nasional dan pihak berkuasa tempatan. Ia amat mudah. Bola sepak secara tiba-tiba bukan lagi perkara utama dalam hidup.

"Saya amat gembira jika kita dapat bermula dengan cara seperti biasa pada permulaan musim depan dan tidak meneruskan apa-apa sehingga waktu itu.

"Jika mereka boleh memulakan musim 2020-21 pada penghujung Ogos atau permulaan September depan, saya amat gembira.

"Mereka perlu mengelakkan gelombang kedua virus ini di mana ia tidak mustahil.

"Setiap orang perlu lebih berhati-hati pada ketika ini.

"Saya dapat tahu ada banyak negara yang mahu kembali bermain bola sepak, dengan atau tanpa penonton.

"Sepanjang karier saya, saya telah melihat banyak situasi di mana kesihatan dan ekonomi perlu diseimbangkan. Kebanyakkannya dimenangi oleh ekonomi.

"Jika terdapat satu keadaan di mana faktor kesihatan perlu memenangi faktor ekonomi, inilah masanya

"Ia bukan mengenai wang, ia mengenai hidup dan mati. Ia semudah itu," katanya.