Ketua-ketua bola sepak di Belanda akan mengadakan perbincangan mengenai masa depan Eredivisie musim ini selepas kerajaan negara itu menjalankan undang-undang kawalan baru bagi menangani wabak Covid-19.

Memandangkan semua perhimpunan awam tidak dibenarkan sehingga 1 Jun depan, segala acara yang berkaitan dengan bola sepak profesional terpaksa dibatalkan.

Masih belum jelas sama ada liga berkenaan akan diteruskan sehingga penghujung musim ini, dihentikan serta-merta dan mengambil kira pungutan mata sedia ada, atau memilih alternatif lain seperti membatalkan keseluruhan liga.

Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) bakal mengadakan satu mesyuarat dengan pihak yang bertanggungjawab mengelolakan Eredivisie dan Eerste Divisie, iaitu ECV dan CED.

Harapan untuk melihat musim ini ditamatkan pada 30 jun depan -- sebelum kontrak pemain tamat -- kelihatan musnah dengan kebanyakan kelab dalam liga utama itu masih memiliki baki lapan perlawanan.

Ajax, AZ dan Feyenoord pula, yang sedang merebut tiga kedudukan teratas, masing-masing masih memiliki baki sembilan perlawanan.

Ketua Eksekutif ECV, Mattijs Manders, seperti yang dipetik NOS, berkata: "Ia amat mustahil untuk pertandingan ini diteruskan berdasarkan keadaan semasa.

"Ia memerlukan pendekatan berbeza. Kami akan membincangkannya.

"Tetapi perlu dijelaskan: kami menyokong setiap langkah yang menyumbang untuk menyelesaikan masalah besar ini.

"Bola sepak adalah tidak penting tetapi saya bertanggungjawab ke atas Eredivisie dan saya berfikir mengenai senario ini," katanya.