Cadangan Bundesliga untuk beraksi di gelanggang tertutup adalah "tidak bertanggungjawab" kerana boleh mendorong peminat untuk berkumpul di luar stadium, kata Timbalan Pengerusi Kesatuan Polis Jerman.

Seperti majoriti liga Eropah yang lain, saingan utama di Jerman juga ditangguhkan kerana wabak novel koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini.

Dua divisyen teratas di Jerman ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya Khamis depan manakala perhimpunan besar-besaran adalah dilarang sehingga akhir Ogos depan.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Persekutuan Bolasepak Jerman (DFL), Christian Seifert, bulan ini mendedahkan perbincangan untuk menyambung aksi secara tertutup seawal bulan depan sedang berjalan.

Seifert mengesahkan pelan DFL untuk diteruskan musim ini dan tarikh sepak mula adalah pada 9 Mei selagi rancangan itu mendapat sokongan kerajaan.

Tetapi pegawai kanan kesatuan itu, Jorg Radek, percaya hasrat berkenaan akan mengundang risiko kepada kesihatan awam.

"Mungkin boleh untuk mengawal apa yang berlaku di dalam stadium tetapi tidak dengan tempat awam di luar stadium. Venue itu akan menjadi sasaran peminat yang ingin menyokong pasukan masing-mading," katanya dalam wawancara dengan Frankfurter Allgemeine Sonntagszeitung.

"Ia akan menjadi sesuatu yang begitu mengecewakan. Orang ramai tidak boleh berhimpun di luar pintu pagar stadium. Ia bukan hanya dilarang malah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Apa yang saya katakan ini akan menjadi relevan bagi polisi pada masa itu. Kemudian, kami harus memastikan syarat-syarat tingkah laku di tempat awam dipatuhi -- penjarakan satu setengah meter, larangan berhimpun dan perlu memakai topeng.

"Kami harus campur tangan dalam aspek menjaga keselamatan dan ketenteraman jika ini semua tidak dapat dijamin.

"Saya ingin menyatakan bahawa kami sebagai kesatuan polis tidak menentang perlawanan bola sepak.


"Saya juga memahami bahawa ada keperluan daripada ramai orang kerana terpaksa menonton perlawanan antarabangsa atau permainan Bundesliga yang lama, tetapi kita tidak boleh abaikan situasi yang melanda ketika ini -- termasuklah polis.

"Perlawanan di gelanggang tertutup adalah bahaya, sekalipun pihak penganjur mengambil langkah berjaga-jaga di stadium bagi memastikan peraturan kebersihan dipatuhi agar risiko jangkitan adalah serendah yang mungkin."

Dia mengatakan rancangan DFL itu nampaknya tidak merangkumi aspek-aspek seperti itu, bahkan menjadi prospek "beban tambahan" kepada polis.

"Menjalankan liga pada hujung minggu adalah beban besar kepada kami walaupun tanpa wabak koronavirus," kata Radek.

"Dengan menghentikan saingan sebentar, maka kami dapat gunakan tempoh itu untuk meningkatkan kehadiran kami di tempat lain."