Pertahanan Juventus, Daniele Rugani, menganggap dirinya "bertuah" kerana berpeluang meningkatkan kesedaran mengenai betapa seriusnya wabak koronavirus baru (Covid-19).

Rugani diuji positif minggu lalu -- salah satu alasan utama yang menyebabkan pembatalan semua perlawanan peringkat tertinggi di seluruh Eropah.

Serie A digantung sehingga 3 April depan dan persidangan video Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) hari ini akan menyaksikan kelab dan persatuan kebangsaan membincangkan kaedah terbaik untuk meneruskan kempen Liga Juara-Juara (UCL), Liga Europa, Euro 2020 selain kejohanan domestik sekiranya krisis itu berterusan.

Dalam temu bual di saluran televisyen Juventus, Rugani mendedahkan bahawa dia tidak mengalami gejala yang teruk, misalnya masalah pernafasan yang dikaitkan dengan kes serius Covid-19.

"Saya mahu memberi kepastian kepada semua orang bahawa saya dalam keadaan baik," katanya. "Saya berasa baik, saya tidak mempunyai gejala serius seperti yang yang disebut-sebutkan.

"Saya menganggap diri saya bertuah walaupun ia satu tamparan hebat memandangkan saya pemain pertama yang dijangkiti tetapi ia membantu langkah meningkatkan kesedaran terhadap pihak yang tidak memahami betapa seriusnya masalah ini."

Rugani mendedahkan dia telah meluangkan tempoh kuarantinnya itu dengan menonton siri drama 'Peaky Blinders' dan membaca novel-novel Harry Potter bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggerisnya sambil mengakui terpaksa menghabiskan masa tanpa keluarganya di sisi adalah sukar.

Ditanya apakah yang dirinduinya dalam kehidupan seharian, jawab pemain berusia 25 tahun itu: "Merangkul orang yang saya sayangi.

"Saya bersendirian di hotel dan saya terpaksa tinggal lebih lama di sini. Tempoh kuarantin terasa panjang dan membosankan, bagi saya dan juga semua orang jadi sebaik sahaja dibenarkan keluar, saya mahu menemui orang saya rindui dan sayang."

Itali adalah negara Eropah yang paling teruk dilanda wabak itu dengan 24,747 kes positif dicatatkan selain melibatkan 1,809 kematian.

Kerajaan telah mengenakan langkah-langkah kawalan pergerakan yang ketat dengan acara-acara dan perhimpunan umum diharamkan termasuk semua kedai ditutup diarahkan tutup kecuali kedai makanan dan farmasi.