Bundesliga berdepan satu ketidakpastian mengenai penyambungannya apabila Kerajaan Jerman menangguhkan keputusan berkenaan tarikh perlawanan bola sepak boleh kembali diadakan di negara itu.

Dua liga utama Jerman digantung sejak 13 Mac lalu gara-gara pandemik Covid-19 dan pegawai liga itu berharap mereka akan mendapat lampu hijau untuk meneruskannya secara tertutup minggu ini.

Ketua Eksekutif Liga Bolasepak Jerman (DFL), Christian Seifert, minggu lalu berkata Bundesliga sudah bersedia untuk kembali bersambung pada 9 Mei depan walaupun keputusan akhir itu hanya akan ditentukan oleh pihak kerajaan.

Terdapat ura-ura bahawa liga berkenaan mungkin akan bersambung pada 16 Mei depan, namun laporan yang sedang bertebaran ketika ini mendakwa keputusan itu hanya akan diketahui pada Rabu depan.

Laporan tersebut menyatakan tindakan untuk menangguhkan keputusan mengenai penyambungan Bundesliga itu dibuat dalam satu mesyuarat yang melibatkan canselor, Angela Merkel, dan menteri-presiden dari 16 negeri di Jerman.

Merkel dan ketua-ketua negeri itu dijangka akan mengadakan satu lagi pertemuan Rabu depan dan berdasarkan maklumat terbaru, ia menunjukkan bahawa tiada lagi kemungkinan untuk liga itu bersambung pada 9 Mei depan.

Kelmarin, Ketua perubatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Michel D'Hooghe, menggesa agar kesemua liga tidak kembali disambung, walaupun secara tertutup, selagi koronavirus masih menjadi ancaman kesihatan awam.

Dia mencadangkan agar tidak ada sebarang aktiviti bola sepak sekurang-kurangnya sehingga September depan.