Kesemua kelab dalam Serie A dibenarkan untuk menjalani latihan secara berkumpulan bermula esok, kata Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte.

Kesemua kelab yang bertanding dibenarkan untuk menggunakan pusat latihan mereka bermula 4 Mei lalu walaupun hanya latihan secara individu dibenarkan.

Sebagai sebahagian daripada usaha melonggarkan perintah berkurung, Conte membenarkan setiap kelab memulakan sesi latihan berpasukan bermula minggu depan.

"Latihan berpasukan akan bersambung pada 18 Mei ini, termasuk bola sepak," katanya dalam sebahagian ucapannya semalam.

Kelonggaran itu memberi gambaran bahawa saingan Serie A semakin hampir untuk kembali walaupun Conte dan Menteri Sukan, Vincenzo Spadafora, masih meletakkan peraturan ketat yang perlu dipatuhi sebelum liga utama Itali itu dapat mengikut jejak Bundesliga meneruskan saingan.

Serie A dan Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) masih belum bersetuju dengan protokol kesihatan yang ditetapkan kerajaan untuk liga itu bersambung.

Badan kesihatan mahukan keseluruhan pasukan dikuarantin selama 14 hari jika terdapat seorang pemain didapati positif Covid-19, di mana pasukan dan liga berkenaan berasakan ketetapan itu akan menjadikan penyambungan semula liga menjadi tidak praktikal dan memohon agar hanya pesakit diasingkan secara individu jika dijangkiti.