Salomon Kalou digantung oleh Hertha Berlin setelah dia berpotensi membahayakan harapan Bundesliga untuk kembali beraksi bulan ini selepas mengabaikan langkah-langkah penjarakan sosial.

Penyerang veteran dari Ivory Coast itu menayangkan video secara langsung di Facebook peribadinya yang sudah dipadamkan apabila menunjukkan dia berjabat tangan dengan rakan sepasukan dan anggota kakitangan kelab berkenaan.

Kalou saling bersentuhan dengan Vedad Ibisevic menerusi gaya mengacukan buku limanya dan kapten Hertha itu juga kelihatan seolah-olah merungut mengenai pemotongan gaji berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19),

Bekas pemain Chelsea itu juga mengganggu pertahanan, Jordan Torunarigha, yang sedang menjalani ujian saringan pandemik berkenaan.

Satu kenyataan daripada Hertha berbunyi: "Dengan video yang disiarkannya itu, Salomon Kalou memberi gambaran bahawa pemain Hertha BSC tidak memandang serius garis panduan penjarakan sosial dan langkah kebersihan yang ditetapkan kementerian kesihatan.

"Hertha BCS ingin menjelaskan bahawa ini adalah kesalahan yang dilakukan seorang pemain. Hakikatnya anggota pasukan yang lain tidak mengabaikan larangan berjabat tangan, ia menjelaskan bahawa peraturan penjarakan sosial perlu ditingkatkan lagi.

"Rakaman itu diambil di dalam bilik persalinan, Kalou jelas melanggar peraturan dalaman dan memperlihatkan tingkah laku yang tidak sesuai dalam situasi ketika ini atau mencerminkan tingkah laku Hertha BSC. Oleh itu, kami telah memutuskan untuk menggantungnya daripada latihan dan perlawanan berkuat kuasa serta-merta."

Dalam masa sama, Hertha menjelaskan tindakan pemotongan gaji sebenarnya dipersetujui barisan pemain dan tiada rungutan mengenainya ketika mereka melakukan perbincangan itu secara terbuka.

Bekas pemain Chelsea tersebut kemudian tampil memohon maaf atas keterlajuran itu, namun Liga Bolasepak Jerman (DFL) membidasnya dengan melabel ia satu tindakan yang langsung tidak boleh diterima tatkala organisasi berkenaan cuba meyakinkan pihak kerajaan untuk membenarkan Bundesliga disambung bulan ini.