Simone Inzaghi tidak sabar untuk menantikan saingan Serie A musim ini kembali diteruskan di sebalik pandemik koronavirus selepas pasukannya, Lazio, memaparkan peningkatan ketara sebelum liga itu direhatkan.

Lazio hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Juventus, selepas 26 perlawanan ketika saingan itu direhatkan berikutan ancaman Covid-19 Mac lalu.

Inzaghi berharap musim ini dapat disambung kembali dengan keputusan itu akan diketahui Khamis ini.

"Kami gembira untuk meneruskannya. Saya berharap kami dapat menamatkan saingan musim ini bagi kebaikan semua yang terlibat dalam bola sepak dan penyokong," kata ketua jurulatih itu kepada Rai.

"Prasyaratnya sudah ada. Kami sebagai jurulatih berasakan bahawa kami ingin meneruskannya dengan selamat.

"Selain daripada kedudukan, kami telah melakukan sesuatu yang luar biasa sebelum pandemik ini," katanya.

Setakat ini, saingan Bundesliga di Jerman menjadi satu-satunya liga utama di Eropah yang telah kembali meneruskan saingan manakala LaLiga dijangka akan bermula bulan depan manakala Ligue 1 pula telah ditamatkan.

Inzhagi berharap saingan Serie A dapat diteruskan walaupun terdapat kes positif koronavirus dalam kelab itu.

"Dalam pusat sukan kami benar-benar selamat, terdapat jarak dan kami dipantau setiap hari.

"Bermula esok, kami akan kembali menjalani latihan secara berkumpulan.

"Terdapat keinginan untuk ia bermula kembali.

"Terdapat kes positif dalam kelab ini? Saya tidak tahu, ia masih belum berlaku.

"Kami menantikan protokol untuk memahami apa yang perlu kami lakukan.

"Seperti yang Jerman lakukan, kami berharap dapat meneruskannya.

"Apabila terdapat kes, pesakit itu akan diasingkan dan permainan akan kembali berlangsung sekurang-kurangnya seminggu kemudian," tambahnya.