Covid-19: Final Liga Juara-Juara, Europa ditunda

Oleh Muzaffar Musa 24 Mac 2020 253
Covid-19: Final Liga Juara-Juara, Europa ditunda
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengumumkan secara rasmi mengenai penundaan final Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa berikutan pandemik Covid-19.

Final Liga Juara-Juara sepatutnya dilangsungkan di Istanbul pada 30 Mei depan manakala final Liga Europa pula dijadualkan berlangsung tiga hari lebih awal di Gdansk.

Bagaimanapun, kedua-dua perlawanan itu, termasuk final Liga Juara-Juara Wanita -- yang sepatutnya dimainkan di Vienna pada 24 Mei depan -- akan ditunda kepada tarikh baru.

Keputusan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan majoriti kejohanan bola sepak di Eropah kini ditunda bagi membendung penularan wabak itu.

Satu kumpulan kerja diwujudkan minggu lalu melalui sidang panggilan di antara kesemua pemegang taruh bola sepak di Eropah bertujuan untuk menganalisis pilihan yang sesuai untuk memenuhi jadual berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang mengesahkan penundaan itu, UEFA berkata kumpulan itu sudah memulakan kajian terhadap kalendar mereka dengan satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Hanya separuh daripada lapan perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara sudah dimainkan dengan Paris Saint-Germain (PSG), Atalanta, Atletico Madrid dan RB Leipzig telah mengesahkan kelayakan ke suku akhir.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen