Kumpulan kerja FIFA bercadang untuk menangguhkan kesemua aksi antarabangsa yang dijadualkan pada Jun depan.

Kumpulan kerja itu diwujudkan dalam usaha untuk mengenal pasti kesan wabak coronavirus dan melakukan mesyuarat buat kali pertama semelam.

Mereka mencadangkan beberapa perkara kepada majlis tertinggi FIFA termasuk menangguhkan kesemua saingan antarabangsa lelaki dan wanita yang dijadualkan Jun depan.

Kesemua cadangan itu sebulat suara mencapai persetujuan daripada panel termasuk beberapa perbincangan mengenai kelayakan Piala Dunia 2022 dengan sasaran untuk mengkaji semula waktu perlawanan berdasarkan tahap keselamatan dan kesihatan.

"FIFA mahu mengucapkan terima kasih kepada sumbangan dan kerjasama semua wakil persekutuan serta persefahaman tinggi yang dicapai dalam mendapatkan keputusan ini," kata wakil FIFA.

"FIFA juga menegaskan kesihatan sentiasa menjadi keutamaan dan kriteria penting dalam setiap keputusan dibuat terutama ketika tempoh sukar ini."

Aksi persahabatan yang dijadualkan termasuk Sepanyol melayan kunjungan Portugal, Jerman bertandang ke Switzerland dan England menentang Romania di laman sendiri.

Saingan Copa America dan Euro 2020 yang dijadualkan hujung Jun depan telah ditangguhkan sehingga tahun depan.