Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mencadangkan agar setiap pasukan dibenarkan menggunakan lima pemain gantian dalam perlawanan berikutan jadual padat yang bakal ditempuhi apabila perlawanan disambung semula.

Wabak novel koronavirus (Covid-19) telah menangguhkan sebahagian besar liga sementara kancah Eredivisie antara yang sudah dibatalkan.



Pasukan bakal mengharungi jadual padat sejurus mereka kembali beraksi, lantas FIFA berharap dapat meringankan beban pemain dengan mengizinkan dua pertukaran tambahan boleh dilakukan dalam satu perlawanan, atau enam penggantian secara keseluruhannya jika permainan dilanjutkan ke masa tambahan.

Penganjur mempunyai pilihan untuk menetapkan peraturan sementara yang baru itu hingga akhir musim depan termasuk membabitkan pasukan kebangsaan hingga 31 Desember 2021.

Jurucakap badan pentadbir dunia itu berkata: "Apabila pertandingan bersambung, pasukan cenderung menghadapi jadual padat dengan kekerapan perlawanan yang lebih tinggi saban minggu.

"Keselamatan pemain adalah salah satu keutamaan FIFA. Kebimbangan yang timbul dalam hal ini ialah kekerapan beraksi yang lebih tinggi pada setiap minggu berbanding sebelum ini yang boleh meningkatkan risiko kecederaan disebabkan beban kerja yang lebih.

"Sehubungan itu, berdasarkan rintangan unik yang sedang dihadapi di peringkat global dalam menganjurkan pertandingan mengikut kalendar yang telah ditetapkan, FIFA mencadangkan agar pemain gantian tambahan dibenarkan buat sementara waktu berdasarkan budi bicara pihak pengelola liga masing-masing.

"Setiap pasukan akan dibenarkan membuatkan lima pertukaran dalam sesuatu perlawanan dengan kemungkinan satu tambahan penggantian apabila aksi diheret ke babak tambahan masa, ia relevan."