Covid-19: FAM potong gaji pekerja 10-20 peratus jika PKP dilanjutkan

Oleh Bernama 3 April 2020 114
Covid-19: FAM potong gaji pekerja 10-20 peratus jika PKP dilanjutkan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memotong gaji pokok kakitangan pentadbiran dan teknikalnya sebanyak 10 hingga 20 peratus, jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi selepas ini, berikutan penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Agungnya Stuart Michael Ramalingam dalam satu kenyataan hari ini berkata, potongan gaji sehingga 20 peratus itu, bergantung kepada gaji masing-masing, sepanjang tempoh krisis ini.

“Urus Setia Agung FAM membuat penilaian dengan hati-hati dan pemahaman yang teliti, terhadap impak wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada seluruh negara dan juga industri bola sepak tempatan, sejurus kita memasuki tempoh kedua PKP selepas 31 Mac lalu.

“Urus Setia Agung akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan, termasuk mengenakan potongan gaji sepanjang krisis ini andai PKP dilanjutkan. Ini dipersetujui oleh kakitangan pentadbiran dan teknikal FAM, sebagai usaha memastikan kestabilan kewangan FAM, dalam menempuh saat-saat sukar ini," katanya.

Susulan penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara, kerajaan Malaysia menetapkan tempoh PKP bermula dari 18 hingga 31 Mac dan dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Katanya, pihak FAM mengucapkan terima kasih kepada semua tenaga kerja FAM, atas komitmen mereka terhadap organisasi, terutama pada tempoh yang sukar buat semua pihak.

Stuart juga menjelaskan keputusan itu merupakan langkah terakhir yang dibuat, selepas mengkaji pelbagai aspek dengan Exco FAM dan pengurusan atasan, sejak wabak COVID-19 memaksa semua saingan bola sepak tempatan ditangguhkan.

"Seboleh-bolehnya kami ingin mengelak daripada mengambil pendekatan ini, tetapi mengambil kira keadaan yang tidak menentu, keputusan ini diambil demi kepentingan semua, termasuk kepentingan FAM selaku satu organisasi," katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen