Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh menunggu atau menangguhkan lagi keputusan membatalkan tiga kejohanan; Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) bagi musim ini akibat penularan COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula pada 18 Mac lalu kini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan, bola sepak telah dikategorikan sebagai sukan bersentuhan yang dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan hanya boleh dijalankan sebagai aktiviti riadah dengan penjarakan sosial satu meter dan tidak melebihi 10 individu.

Namun, sebarang penganjuran perlawanan atau pertandingan masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini.

Sementara bagi futsal pula selain daripada boleh dikategorikan sebagai sukan bersentuhan, ia turut tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini kerana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) adalah termasuk dalam senarai aktiviti sukan yang dilarang.

Selepas meneliti garis panduan berkenaan, keutamaan perlu diberikan terhadap aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan dalam usaha memastikan keselamatan dan kesihatan semua individu yang perlu hadir ke venue latihan dan perlawanan adalah terjamin.

Sesetengah pasukan dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan padang terbuka sebagai venue mereka selaku tuan rumah, sekali gus menyebabkan kesukaran untuk mengawal pematuhan SOP penganjuran perlawanan.

Begitu juga kejohanan MPFL kerana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup dilarang yang bakal menyebabkan beberapa halangan terpaksa dihadapi dalam mendapatkan kelulusan SOP untuk pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan.

Dalam satu sidang video bersama wartawan sukan tempatan hari ini, Stuart berkata: "Seperti yang dikeluarkan dalam kenyataan media hari ini, ia berkaitan pertimbangan mengenai kategori peringkat usia B-21.

"Untuk memastikan kita tidak kehilangan generasi ini, kami melanjutkannya kepada tahun depan, bermakna saingan untuk tahun depan adalah kategori B-22.

"Jadi kelompok pemain tahun ini masih boleh bermain tahun depan. Kami tidak menamatkan karier mereka.

"Antara arahan yang dikeluarkan daripada FAM adalah untuk menjaga kebajikan pemain-pemain ini dengan pembayaran pampasan sebanyak 25 peratus perlu dibayar bagi mana-mana kontrak yang ditamatkan.

"Jadi, baki kontrak minimum sebanyak 25 peratus perlu dibayar setiap pasukan.

"Itulah ketetapan yang dikeluarkan FAM bagi memastikan kebajikan pemain dan pegawai tetap dijaga dalam situasi semasa," katanya.