Dynamo Dresden menempatkan seluruh pasukan utamanya dalam kuarantin selepas mencatatkan dua kes positif Covid-19, hanya seminggu sebelum Bundesliga 2 bersambung.

Kelab itu mengesahkan semalam bahawa dua kes positif baru dikesan selepas mereka melakukan ujian kali ketiga minggu ini.

Pemain yang tidak dinamakan itu masih tidak menunjukkan sebarang gejala, kata kelab berkenaan.

Pengarah kesukanan, Ralf Minge, mengesahkan bahawa seluruh skuad mereka, termasuk pegawai kejurulatihan dan sokongan, terpaksa mengasingkan diri.

"Hakikatnya adalah kami tidak boleh berlatih mahupun menyertai kejohanan dalam tempoh 14 hari yang akan datang," katanya.

Dua liga divisyen utama Jerman akan meneruskan musim 2019-20, Sabtu depan selepas pihak berkuasa memberikan lampu hijau untuk kejohanan itu dijalankan secara tertutup dan mematuhi segala protokol kesihatan yang ditetapkan.

Dynamo dijadualkan untuk berdepan Hanover pada Ahad depan.

Bundesliga merupakan liga pertama di Eropah yang mengesahkan akan meneruskan saingan selepas direhatkan berikutan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.